KANGAR: Parti Warisan akan bertanding di kesemua tiga kerusi Parlimen, dan enam daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Warisan Perlis Abdul A'zib Saad.

Beliau berkata Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar, manakala enam kerusi DUN yang bakal ditandingi akan diumumkan setelah mendapat persetujuaan daripada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Senarai nama calon telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan dalam masa dua atau tiga hari lagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini, serta memberi bayangan dua calon DUN yang ditampilkan adalah anak muda tempatan berumur di bawah 30 tahun.

Warisan dilancarkan di Perlis pada Jun lepas oleh Mohd Shafie, dan PRU15 merupakan kali pertama bagi parti yang diasaskan di Sabah itu bertanding di Perlis.

Perlis mempunyai 15 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN penggal ke-14 pada 14 Oktober, 10 kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), tiga PKR dan dua PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

-- BERNAMA