GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan 2021) yang membenarkan had usia kelayakan umur calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diubah daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Undang-undang itu diluluskan selepas usul dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan  Negeri, Soon Lip Chee mendapat sokongan penuh selepas ia dibahaskan enam wakil rakyat.

Lip Chee berkata ,berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pihaknya mendapati seramai 65.06 peratus golongan belia iaitu 2,661 daripada jumlah 3,475 responden menyokong cadangan tersebut.

Beliau berkata, pandangan golongan belia secara atas talian dan hardcopy bermula 8 Disember tahun lalu sehingga 6 Jun lalu turut diadakan  bagi mendapat maklum balas golongan tersebut.

"Kerajaan Negeri melalui PYDC (Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang) telah menganjurkan program kempen UNDI18 dengan tujuan meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan hak dan tanggungjawab warga negara melalui program dan aktiviti tersebut pandangan golongan belia telah dikumpul dan taklimat kempen UNDI18 telah diadakan di SPU (Sungai Petani Utara) pada 15 Ogos, 2020, dan SPT (Sungai Petani Tengah) pada 3 Oktober, 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sesi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang hari ini.

Lip Chee  bagaimanapun berkata, pindaan Perkara 12 ini hanya akan berkuatkuasa melalui pemberitahuan yang akan diumumkan kelak.

Pulau Pinang menjadi negeri ketujuh yang meluluskan usia kelayakan calon kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun, selepas Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan, dan Perak.