SHAH ALAM: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli seharusnya menyerahkan segala bukti berhubung jumlah pemilih parti yang meragukan seperti didakwanya sebelum ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid, adalah mustahil seorang calon Timbalan Presiden bermain persepsi berkenaan perkara terbabit.

"Aduan dan rungutan terhadap keraguan dalam pemilihan kali ini bukan hanya datang dari satu pihak, bahkan juga daripada saudara Rafizi Ramli sendiri yang telah mengeluarkan kenyataan pada 10 Mei 2022 bahawa terdapat kira-kira 54,000 pemilih Keadilan yang meragukan.

"Ini dibuktikan sendiri oleh penemuan beliau bahawa terdapat 1,500 nama yang didaftarkan hanya dengan satu nombor telefon semata-mata.

"Namun, dakwaan tersebut sepi dan tidak disusuli kembali sebaik beliau diumumkan secara tidak rasmi sebagai pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden Keadilan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan 11 Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Kalabakan yang menang tanpa bertanding bertindak meletakkan jawatan beramai-ramai baru-baru ini.

Selain itu, Rafizi menerusi temu bual bersama Sinar Harian sebelum ini mendakwa pihaknya mengenal pasti terdapat 54,000 daftar pemilih meragukan di seluruh negara menjelang pemilihan parti itu bagi penggal 2022-2025.

Dalam pada itu, Abdullah Sani yang merupakan Ahli Parlimen Kapar menambah, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR yang memainkan peranan utama serta mengambil tanggungjawab penuh perlu bersikap lebih tegas dan cermat dalam meneliti setiap aduan.

"Bukan sekadar mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak lebih dari hanya sekadar melepaskan diri sahaja," tegasnya.

Bagaimanapun, Abdullah Sani menyambut baik kenyataan daripada Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa untuk melaksanakan audit forensik dalam setiap aduan.

"Saya berharap ia dapat segera dilaksanakan oleh badan bebas yang mempunyai kredibiliti dan melaporkan hasil siasatan terus kepada MPP agar semua pimpinan maklum akan situasi terkini pemilihan parti.

"Namun begitu, selain hanya menunggu keputusan audit forensik badan bebas, saya juga menuntut agar JPP sendiri lebih proaktif dalam melaksanakan siasatan dalaman terhadap aduan yang telah dikemukakan.

"Sesi pendengaran dengan segera memanggil Saudara Rafizi, Saudara Farhash (Wafa Salvador Rizal Mubarak) ataupun mana-mana individu yang berkaitan, sedikit sebanyak dapat memulihkan kembali keyakinan anggota Keadilan yang semakin pudar terhadap JPP," ujarnya.

Beliau berkata, parti itu dan anggotanya telah melalui tempoh perjuangan panjang yang berdepan dengan pelbagai ranjau dan cabaran demi menegakkan keadilan dan reformasi dalam negara.

"Maka sebarang cubaan yang berpotensi menghakis nilai keadilan tentunya akan ditentang dan dilawan habis-habisan," katanya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian