SELAMA: Pemimpin harus bekerjasama untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara, aman, maju dan selamat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata , pemimpin yang angkuh dan sombong tidak mahu melihat kerjasama itu, akan ditolak oleh rakyat.

Menurut beliau, rakyat tahu siapa pemimpin berkenaan.

“Kita kena terima hakikatnya bahawa ini ada sebuah negara berbilang kaum yang penuh dengan bermacam-macam bentuk, macam-macam corak yang dibawa oleh semua kaum.

“Begitu juga dengan banyak agama yang ada. Maka pemimpin yang mahu memastikan kejayaan negara ini, dia mesti bebas daripada sikap sombong angkuh hanya untuk satu pihak saja.

“Kita mahu kerjasama ini diberikan satu tahap di mana kita letakkan Rukun Negara sebagai yang paling atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Komuniti Bebas Jenayah Dan Dadah di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, di sini, hari ini.

Menurutnya, jika itu dapat dilakukan, beliau yakin Malaysia akan kembali menjadi negara yang dihormati di seluruh dunia.

Terdahulu, beberapa penganalisis politik berpandangan bahawa tiada parti yang dominan akan memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.