KUALA LUMPUR : Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa prinsip yang tertakluk dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dipegang dan dilaksanakan dalam meningkatkan hubungan antara Semenanjung serta negeri Sabah dan Sarawak.

Ini kerana jelasnya, perjanjian yang ditandatangani oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman bukan berasaskan keputusan yang dibuat semalaman, tetapi telah melalui banyak rundingan dan dipelajari dengan teliti.

"MA63 ialah perjanjian antarabangsa yang didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 di bawah Perjanjian bernombor 10760.

"Untuk menukar perjanjian itu, ia memerlukan persetujuan Sabah dan Sarawak serta pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu diluluskan dengan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Tambahan pula, perubahan dalam MA63 hanya boleh dibuat dengan perundingan dan persetujuan pihak-pihak yang menandatanganinya pada 9 Julai 1963,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menolak syor pembentukan Perjanjian MA63 yang baharu seperti yang dicadangkan oleh  Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah pada 2 Julai lalu.

“Hanya laksanakan perjanjian itu sepenuhnya. Itu yang dimahukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.

"Mereka tidak mahu perjanjian baharu. Saya amat kecewa dengan rakan-rakan pemimpin Sabah yang sanggup berkompromi berkenaan hak asasi rakyat Sabah untuk melindungi kepentingan politik mereka.

"Daripada berkompromi, mereka sepatutnya menuntut (dasar) MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.

Tambah beliau, kegagalan untuk menunaikan janji itu akan menghakis kepercayaan, menghancurkan keyakinan, integriti dan akan memecah belahkan hubungan antara Semenanjung dan negeri Sabah dan Sarawak.