SHAH ALAM: Saya tidak terima apa-apa tawaran, tidak melobi, hanya buat kerja seperti biasa, kata Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang disebut-sebut turut tersenarai dalam mengisi jawatan timbalan menteri dalam kabinet.

Rodziah yang juga Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor berkata, beliau ketika ini hanya memberi tumpuan kepada jawatannya di peringkat negeri dan tidak tamak untuk mengisi jawatan penting di peringkat nasional.

"Tentang jawatan apa pun di peringkat nasional saya serah kepada pemimpin dan kalau tanya saya memadailah apa yang saya ada sekarang.

"Saya takut 'to much things inside my plate' jadi saya tidak dapat buat kerana saya hendak buat (dengan jawatan sekarang) dengan sebaik mungkin.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa dan sewaktu saya dinamakan sebagai calon (Parlimen) hari itu pun saya mengharapkan kemenangan dan menyumbang satu kerusi kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sudah cukup bahagia bagi saya," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Undian Unit dan Menandatangani Perjanjian Penyerahan Hartanah 26 Bekas Pemain Piala Malaysia 1955 Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, semua pihak perlu memberikan ruang seluasnya kepada Anwar untuk memilih pasukan beliau termasuk dalam mengisi jawatan timbalan menteri.

"Saya yakin pertimbangan beliau itu banyak dan yang penting kita hendak Selangor ini dalam masa empat lima bulan ini kukuh, stabil dan kita akan sempurnakan kerja-kerja kita untuk penggal ke-14," katanya. -Sinar Harian