PETALING JAYA: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri melibatkan tiga negeri pembangkang tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penganjuran seumpama itu akan turut diadakan di Selangor dan di negeri yang ditadbir parti kerajaan.

"Negeri ada banyak. Semua ada. Selangor pun ada. Tak benar (kerajaan hanya tumpu untuk buat di negeri pembangkang)," jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Sri Manja hari ini.

Anwar Ibrahim menjawab bagi mengulas dakwaan kononnya penganjuran rumah terbuka membabitkan negeri pembangkang ada kaitan dengan persiapan PRN akan datang.

Sebanyak enam negeri terdiri daripada Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal berdepan dengan bahang PRN yang dijangka pada Jun atau Julai.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataannya pada Khamis menyatakan, Anwar tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang kebiasaannya akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri.

Sebaliknya, ia bakal diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, Anwar juga dijangka menghadiri beberapa lagi acara rumah terbuka termasuk anjuran kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Anwar menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Sri Manja.

Beliau dalam masa sama menyempurnakan majlis ringkas penyampaian pek Bakul Madani kepada rakyat memerlukan bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri.