KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti membolehkan reformasi Parlimen, parti politik dan pemimpin berlaku.

Penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian berkata, akta berkenaan memastikan peranan wakil rakyat lebih berkualiti selain memastikan ketaatan kepada parti politik tidak menjejaskan kredibiliti mereka.

"Sudah tiba masanya diperkalkan Akta Lompat Parti ini walaupun kita lihat beberapa tahun lepas sudah mahu diperkenalkan tetapi hari ini kerajaan sendiri komited untuk memberikan tawaran baharu itu.

"Maka formula baharu harus melihat kepada bagaimana mencari titik keseimbangan rentas parti tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang dan bagaimana akta ini sebenarnya juga akan memberikan suluhan baru ke atas peranan wakil rakyat sendiri.

"Ia penting supaya kita melihat nilai kualiti baharu dapat kita raikan dalam mempertahankan demokrasi Parlimen berpelelembagaan dan titik tolaknya bagaimana kita akan melindungi Perlembagaan dan pada waktu sama mempertahankan institusi yang ada termasuk dengan memperkenalkan Akta Lompat Parti," katanya semasa sidang maya pada Sabtu. 

BACA: PM umum 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, wujud landskap politik baharu

BACA: 
Transformasi Parlimen mampu ubah konsep politik semasa - Annuar

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Salah satu daripadanya merupakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen.

Dalam perkembangan berasingan Sivamurugan menjelaskan, program Politik #MalaysiaTanpaRasuah
akan memulihkan kepercayaan rakyat kepada institusi berkenaan.

Ujarnya, kempen itu merupakan tanggungjawab bersama merentasi antaranya kaum, etnik, agama, kumpulan, jantina dan fahaman politik.

Politik #MalaysiaTanpaRasuah merupakan program anjuran Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengemukakan beberapa tuntutan serta pandangan rakyat ke arah Malaysia yang bebas cengkaman rasuah.