LANGKAWI: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menolak permintaan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ianya memerlukan kajian mendalam termasuk kefahaman terhadap maksud sebenar 'melompat' selain hukuman yang perlu dikenakan terhadap individu yang melakukan tindakan berkenaan.

Menurutnya, hasil kajian berkenaan amat diperlukan semua pihak agar dapat mengelakkan pelbagai pertikaian kelak sekiranya RUU itu diluluskan.

"Semua ini mesti dikaji dan kita tidak tolak tetapi kita hendak kaji secara mendalam, memandangkan kadang-kadang ada pula parti yang pecat. Macam saya kena pecat jadi apa dia hukuman terhadap pemecatan, boleh ke pecat, semua ini perlu dikaji dengan mendalam, kalau kata tidak boleh lompat (tanpa dikaji secara mendalam), banyak benda tidak betul boleh berlaku (kelak termasuk pertikaian antara ahli Parlimen)," kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Kuah bagi program #PulangKeLangkawi pada Jumaat.

Tambah Dr Mahathir, cadangan memberikan kuasa atau mengembalikan mandat kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya terdapat Ahli Parlimen yang melompat pula disifatkan akan mengambil masa yang lama serta menjadi satu perkara yang sia-sia sekiranya individu berkenaan dipilih semula.

"Rakyat yang pilih orang itu (Ahli Parlimen) bukan semua (pengundi) dalam satu satu kawasan pilih dia, ada yang pilih lain, jadi kalau satu kumpulan rakyat tuduh (Ahli Parlimen itu) menyeleweng (mandat rakyat) tetapi dia pulak (dapat sokongan dari individu) atau orang (yang) lebih ramai yang mengatakan dia tak menyeleweng (mandat rakyat, jadi yang melompat akan kembali dipilih).

"Kami (Pejuang) tak hendak dia timbul satu pertikaian di antara dua puak ini dan ia akan ambil masa yang panjang, kita tidak ada kerja lain (selain daripada) asyik buat kerja (pemilihan semula) itu," katanya lagi.

[TERKINI] Lompat Parti | Azalina hantar notis RUU Pemecatan Ahli Parlimen


Pada Rabu, Azalina meminta agar Rang Undang-Undang Antilompat parti dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu menyifatkan RUU itu perlu diwujudkan segera memandangkan amalan melompat parti bukan sahaja satu perbuatan yang tidak adil kepada rakyat malah juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika kemenangan individu berkenaan dalam satu-satu pilihan raya.