KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju supaya pindaan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Menerusi satu kenyataan bersama, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu adalah bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti dan ditugaskan meneliti, memperhalusi serta mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

"Pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung bulan Mei 2022.

"Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa RUU Antilompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

"Pakatan Harapan komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia," memetik kenyataan tersebut.

Majlis Presiden PH pada masa sama menyiifatkan pindaan yang dibentangkan hari ini berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada RUU berhubung larangan melompat parti sahaja.

Malah, PH turut berpendirian bahawa Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Antilompat Parti.