KAJANG: Kaedah pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik perlu dibincang dan dikaji dengan lebih mendalam dahulu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kajian itu perlu bagi memastikan RUU tersebut boleh diguna pakai untuk tempoh yang lama, selain tidak akan menimbulkan sebarang ‘flip-flop’.

Katanya lagi, tidak guna jika dasar itu hanya dilihat baik di atas kertas, namun pelaksanaannya berkemungkinan besar akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Semalam dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), yang saya sendiri adalah anggotanya, kita telah bincang. Cuma kaedah mekanisme ini harus kita fikirkan lebih mendalam supaya sesuatu yang kita nak lakukan, tak boleh ada 'flip-flop'.

“Pastikan RUU itu sampai bila-bila. Jadi suatu yang kita lakukan dari segi polisinya baik, tapi dari segi periciannya harus diberikan kepada suatu pasukan bukan hanya agensi, tapi juga mereka yang berpengalaman, mereka yang praktikkan di negara luar, kita akan buat lawatan semua itu. Nanti baru kita adakan sesuatu yang boleh diguna pakai,” katanya lagi.

BACA: Skop dasar RUU Sumbangan Politik akan dibentang pada mesyuarat Kabinet - PM

Hamzah berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) oleh AADK bagi program rawatan dan pemulihan penagihan dadah, di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata, RUU itu secara dasarnya telah dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikannya.

Menurutnya rang undang-undang itu penting kerana sehingga kini masih tiada undang-undang atau peraturan dalam negara yang mengawal selia pembiayaan politik.