AYER KEROH: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.

SUK Negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

“Berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara ,7 Perlembagaan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Yang di-Pertua Negeri Melaka telah pun menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12,”katanya dalam kenyataan di sini.

BACA: Sulaiman, TYT masuk pejabat di Seri Negeri seperti biasa

Mengulas lanjut ujarnya, istiadat itu akan diadakan di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri pada jam 3 petang Jumaat ini.

Sulaiman, sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun Melaka sebagai Ketua Menteri.

Melaka kemudian terpaksa pula mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 erusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Difahamkan jawatan itu akan digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.