KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan pelantikan beliau sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri pada 2017 atas bantuan Mohd Rafizi Ramli.

Sebaliknya, jelas Saifuddin jawatan tersebut dilantik sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng.

Saifuddin berkata, beliau kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Rafizi sebagai "kertas kerja" yang membantunya mendapatkan kerja.

"Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik  dengan Lim Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau juga mempersoalkan dakwaan jawatan Setiausaha Agung PKR yang disandangnya pada 2016 selepas Mohd Rafizi memberi laluan.

"Rafizi kata dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun?

"Jawatan Penasihat Ketua Menteri pula yang saya pegang selama setahun, lebih kepada keperluan strategik ketika itu dan tidak ada kena mengena dengan Rafizi yang ingin “membantu “ sahabatnya yang “tidak ada kerja” selepas kalah pilihan raya," katanya lagi.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata dia dan Presiden PKR ketika itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah membantu mengurangkan beban Rafizi ketika dia berdepan beberapa kes mahkamah termasuk kes NFC.

"Perbincangan kami berdua dengan presiden Wan Azizah tertumpu bagaimana mengurangkan beban Rafizi yang terpaksa turun naik mahkamah dan pada masa sama tugasan parti tidak terjejas.

"Akhirnya Wan Azizah melantik saya semula sebagai Setiausaha Agung pada 26 November 2016," katanya.

Ketika berkempen di Bayan Baru, Mohd Rafizi mendakwa beliau berkorban demi membantu Saifuddin Nasution Ismail ketika “hilang kerja” selepas tewas, pada pilihan raya umum 2013.

Selain itu Mohd Rafizi mendakwa, beliau memainkan peranan penting kepada Saifuddin menyokongnya diberikan jawatan di Pulau Pinang selepas Saifuddin meninggalkan negara untuk bekerja di Indonesia.

Mohd Rafizi berkata, beliau mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan Pulau Pinang melantik Saifuddin sebagai penasihat strategik kepada Ketua Menteri pada 2017.