KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dikekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bahkan, wajah Muhammad Sanusi juga akan disandarkan sebagai ‘poster boy’ di Kedah pada PRN akan datang, kata Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

"Pas Kedah ingin menegaskan bahawa Muhammad Sanusi kekal menjadi 'poster boy' dalam PRN kelak dan beliau akan kekal menerajui pentadbiran Kedah jika terus diangkat dalam PRN.

"Insya-Allah sokongan berterusan daripada rakyat Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di negeri ini khususnya dan tidak mustahil, misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir PH (Pakatan Harapan) seperti Pulau Pinang," kata Ahmad dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Dalam masa sama, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, pihaknya yakin sokongan berterusan pengundi turut bakal memberi kesan di negeri dikuasai PH seperti di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Ahmad menegaskan, ketegasan Muhammad Sanusi menegakkan kebenaran dilihat menjadi sebab mengapa tekanan politik berterusan diarahkan kepada Menteri Besar Kedah itu ketika ini.

“Ketegasan beliau (Muhammad Sanusi) menegakkan kebenaran menjadi asbab tekanan politik yang berterusan diarahkan kepada beliau ketika ini.

“Pas Kedah sedar bahawa PH tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN selepas mendapat dokongan kuat masyarakat Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

“Oleh itu, langkah 'character assassination' (pembunuhan karakter) terhadap Muhammad Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Negeri Kedah.

"Pas Kedah yakin segala perjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, malah hasrat 'The Greater Kedah' yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak," kata Ahmad dalam kenyataan itu lagi.

Ahmad turut menarik perhatian berhubung tekanan politik yang turut dihempapkan ke atas kerajaan negeri Kedah menunjukkan Kerajaan Persekutuan membelakangi semangat Madani dalam erti kata sebenar.

Bahkan, ujar beliau, tekanan itu juga menunjukkan wajah dan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.

"Bukankah berulang kali kita mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya mengekalkan profesionalisme dalam hubungan federalisme di antara Persekutuan dan Negeri?

"Malangnya, Kerajaan Persekutuan melaksanakan federalisme terpilih kerana dendam politik serta pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi," jelas Ahmad lagi.