SEREMBAN: Saranan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan bukanlah untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang baru sahaja memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat rakyat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini sekali gus bagi memberikan keyakinan kepada banyak pihak termasuk pelabur asing bersandarkan kepada kestabilan kerajaan dan politik semasa.

"Janganlah pula anggap bila saya kata buat PRU sebab kita baru menang pilihan raya (Melaka), tapi ini sebab kita nak pulangkan mandat kepada rakyat.

"Demokrasi ialah mandat rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 peringkat Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan petang semalam bahawa Pas tidak akan mengambil sikap tergopoh-gapah meminta supaya PRU15 diadakan segera selain menyatakan PRU15 ditentukan Jemaah Kabinet dan bukannya parti politik.

BACA: Pas tidak akan gopoh minta PRU15 diadakan segera - Takiyuddin

BACA: 'Kemenangan BN hanya dalam konteks negeri, perlu ingat Persekutuan dibentuk oleh pelbagai parti'

BACA: Kemenangan di Melaka isyarat terbaik adakan PRU - UMNO Taman Mawar

Pada Ahad, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Rantau itu dilaporkan berkata wajar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA