KUALA LUMPUR: Pengumuman Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membayangkan “worst-case scenario” untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sebagai satu kerugian.

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Khairy dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama.

“Perubahan demografi pengundi pasca Undi18 ini juga dilihat cukup dinamik dan KJ mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat UMNO dan BN,” jelas Reezal Merican menerusi status di laman mikro beliau.


Reezal Merican yang Juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, beliau mengenali Khairy secara peribadi sejak sama-sama bergiat aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO menyatakan menantu kepada Perdana Menteri Kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu mampu menjalankan tugas dengan baik.

“Saya juga melihat bagaimana KJ sebagai seorang rakan Menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas di dalam Mesyuarat Kabinet.

"Kepimpinan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei 2022 lalu,” tambahnya.

BACA: PRU15: Khairy sahkan tidak bertanding di Rembau, beri laluan kepada Tok Mat 

Kenyataan Reezal menyusul pengakuan Khairy yang diarahkan untuk memberikan laluan di kerusi Parlimen Rembau kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

BACA: Tok Mat mahu pertahan kerusi DUN Rantau, tanding Parlimen pada PRU15

Khairy yang menjadi Ahli Parlimen di Kawasan parlimen tersebut sejak 2008 turut mengumumkan akur dengan arahan terbabit.

Khairy juga pada masa sama sedia untuk bertanding di kawasan parlimen lain jika ditawarkan.