Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menempelak pihak yang melabelkan beliau sebagai ‘katak’ atas alasan sering bertukar parti politik.

Kata Ibrahim, perkembangan politik mutakhir menyaksikan lebih ramai ahli politik meninggalkan parti dan menyertai parti lain.

Secara sinis beliau mendakwa ahli politik lain kini lebih ‘katak’ berbanding dirinya kerana melompat parti dan mengkhianati perjuangan.

“Saya dulu disingkirkan dari UMNO bukan saya keluar parti. Tetapi ada parti yang saya tinggalkan kerana prinsip bukan sebab lain.

“Jadi saya ni katak plastik je, bukan katak betul,” katanya pada sidang media pertama Putra di sini pada Khamis.

Pada sidang media itu, Ibrahim memaklumkan Putra kini bergerak sebagai parti politik yang sah di sisi undang-undang selepas permohonan mereka diluluskan.

Beliau juga menjelaskan sangat teruja dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan permohonan pendaftaran Putra.

“Saya amat teruja dengan keputusan ini, selepas tujuh bulan menunggu dan terpaksa memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah ke atas ROS.

“Sepatutnya hari ini (9 Mei) adalah hari mahkamah mendengar semakan itu tetapi ROS telah menghubungi kami memaklumkan permohonan telah diluluskan,” katanya lagi.

Menurut Ibrahim, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Masyati Abang Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, 95 peratus perlembagaan Putra adalah berasaskan perlembagaan UMNO lama yang ditubuhkan tahun 1946.

Jelas beliau, perlembagaan UMNO lama amat praktikal dan sesuai dengan perjuangan parti yang bari diluluskan penubuhannya itu.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata, Putra akan melalui tiga fasa penubuhan iaitu peringkat mengemas dan mengukuhkan organisasi parti, memaklumkan kepada rakyat betapa seriusnya penubuhan parti itu dan menghadapi pilihan raya umum.

“Keahlilan Putra terbuka kepada semua kaum bumiputera dan borang keahlian akan diedarkan pada 22 Mei ini sempena mesyuarat penaja kali pertama parti itu.

“Selepas itu borang keahlian akan diedarkan ke seluruh negara, dengan konsep parti menubuhkan cawangan mengikut jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.

Mengenai keahlian pula, Ibrahim berkata pihaknya akan memantau supaya ahli yang menyertai Putra adalah yang benar-benar aktif dan selebihnya parti itu mengharapkan sokongan dari rakyat.

Selain Ibrahim, sidang media itu turut dihadiri Setiausaha Agung penaja Putra, Arshad Aliman; Ketua Penerangan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz; dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perak, Datuk Hamidah Othman.

Menurut Ibrahim, pada peringkat awal ini, kepimpinan Putra mempunyai 15 ahli jawatankuasa iaitu beliau selaku Presiden penaja, Tan Sr Khalid Yunus (Timbalan Presiden), Dr. Nor Asmah Mohd Razali (Ketua Wirawati), Norhafizah Jamaluddin (Naib Ketua Wirawati), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Ketua Wira), dan Hamzah Zainudin.