Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu teruja untuk bergandingan semula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di atas satu pentas.

Beliau berkata kehadiran perdana menteri ke Port Dickson yang dijadualkan Isnin ini membolehkan beliau dan bekas ketuanya itu kembali di atas satu pentas selepas 20 tahun.

"Isnin malam Tun Mahathir akan datang ke sini, Insya-Allah dan ini kali pertama saya nak boleh berucap satu pentas dengan Tun Mahathir setelah 20 tahun.

"Kalau beliau hadir inilah kali pertama saya kembali satu pentas dan kita akan gegarkan Port Dickson setelah 20 tahun," katanya semasa berucap pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang juga pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar dan Dr Mahathir pernah bergandingan semasa berkhidmat sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri sebelum Ketua Umum PKR itu dipecat pada 1998.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Okt ini, manakala pengundian awal pada 9 Okt.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

-- BERNAMA