KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berjanji akan melakukan yang terbaik setelah beliau dikekalkan sebagai anggota jemaah menteri bagi portfolio itu.

Dalam masa sama, Nancy mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya  untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.

“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Menteri yang dilantik hendaklah menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh 100 hari.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik bagi mendepani cabaran membantu sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Nancy menyeru agar kesemua pasukan kerja di bawah kementerian itu untuk bekerjasama dan maju ke hadapan bagi merealisasikan impian kementerian itu pada masa akan datang.

Nancy sebelum ini telah bertugas selama 161 hari dalam kementerian berkenaan sejak dilantik pada 9 Mac 2020 sehingga bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap ahli politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu antara 11 Ahli Parlimen dari Sarawak yang dikekalkan dalam barisan menteri Kabinet Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Ismail Sabri pada Jumaat mengumumkan anggota Kabinet beliau selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
[LAPOR LANGSUNG] Ini senarai anggota Kabinet Ismail Sabri

BACA: 

Ini senarai anggota Kabinet Ismail Sabri Yaakob