SHAH ALAM: Saya hendak masuk Pakatan Harapan (PH) bukan sebab nak jadi ketua tapi saya nak teruskan wadah perjuangan yang saya dah mulakan sejak 40 tahun lalu, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin

Beliau berkata, bila saya dipecat saya tidak mahu bermusuh sebaliknya masih bersahabat dengan ahli-ahli UMNO yang lain.

“Saya nak mencari yang tiada masalah, contohnya kalau saya masuk PN (Perikatan Nasional) kalau orang UMNO jumpa saya mungkin dia boleh dipecat.

“Presiden UMNO ini kalau ada silap dia pecat walaupun dia kata tak ikut prosedur betul, kuasanya dia boleh pecat sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live ‘Kenapa Pilih PH’ dihoskan oleh Hazwan Mokhtar yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, dia perlu memastikan rakan-rakannya di dalam UMNO selamat (tidak dipecat) kerana mahu berkawan dengannya.

“Saya harus ‘protect’ kawan-kawan yang hendak jumpa saya.

“Tetapi bila saya masuk Pakatan Harapan (PH) jadi nak pecat macam mana sebab dia (Presiden UMNO) pun berpakat dengan Anwar.

“Apabila saya sebut PKR bermakna saya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mana UMNO menyokong Perdana Menteri yang ada sekarang.

“Kamu di peringkat menteri kabinet boleh berbincang bersama-sama, kami orang UMNO tidak boleh bersama saya jadi boleh teruskan persahabatan buat gerakan bersama kerana PH dan UMNO adalah kerajaan yang sama,” ujarnya.

Zahidi sebelum ini antara dua bekas pemimpin kanan UMNO Perlis selain Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dipecat dari parti itu berikutan langkahnya yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). -Sinar Harian