KUALA LUMPUR : "Saya percaya kepada bipartisan," itu yang ditegaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia merujuk kepada kerjasama antara parti politik lain bagi memberi fokus berkhidmat demi rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15.

Menerusi perkongsian terbaharu beliau di Instagram, Syed Saddiq berkongsikan foto bersama Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kongsinya, walaupun berada dalam parti yang berlainan, rasa hormat beliau terhadap bekas perdana menteri itu tetap kekal.

"Pilihanraya sudah tamat, kini masa untuk fokus berkhidmat. Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepasa TS Muhyiddin tetap kekal. Hormat kawan & lawan.

"Dua jam berbual, mendapatkan perkembangan terkini selepas PRU. Muhyiddin juga pengundi saya di Muar. Jasanya banyak," tulisnya menerusi kapsyen.

Justeru jelasnya, mari bersama bina Malaysia yang ditadbir dengan integriti dan bermaruah, sebuah negara di mana semua rakyat Malaysia berasa di 'rumah'.

"Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik. Kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil dengan pihak pembangkang yang tegas untuk membawa negara ke hadapan.

"Ini masa untuk fokus bina semula Malaysia," katanya.