KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menzahirkan ucapan tahniah kepada Rafizi Ramli kerana mendahului pengundian bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022.

Khairy, yang juga Menteri Kesihatan turut mengalu-alukan penglibatan semula bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam arena politik.

Setakat ini, keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 menyaksikan, Rafizi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang dilantik memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution dengan 48,223 undi.

"Tahniah Rafizi Ramli kerana menang jawatan Timbalan Presiden PKR dan selamat kembali aktif berpolitik.

"Saya selalu mengatakan bahawa anda adalah ahli politik paling berbakat dalam generasi kita (walaupun berada dalam pasukan lain). Saya mendoakan yang terbaik untuk anda," tulis Khairy dalam hantaran di Instagram Story, hari ini.

Menerusi kemas kini tersebut, bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut memuat naik gambar beliau bersalaman bersama Rafizi.

"Maafkan saya untuk gambar tersebut ... Ia tidak menggambarkan realiti semasa, yang mana ia lebih 'favourable' kepada anda," katanya sambil meletakkan emoji ketawa.

Pemilihan PKR 2022 berakhir dua hari lepas, setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden PKR bagi tempoh 2022 hingga 2025 selepas menjadi calon tunggal dan menang tanpa bertanding.