KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengesahkan tidak wujud sebarang unsur 'beli' wakil rakyat yang membawa kepada pengumumam keluar Parti Warisan (Warisan) yang dibuat beliau pada Sabtu.

Malah, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu, keputusan tersebut tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ia dibuat atas dasar kepentingan rakyat dan pengundi di kawasan yang diwakilinya.

"Tidak ada sebarang unsur pembelian yang membawa kepada keputusan (keluar parti) yang saya buat pada hari ini.

"Pengumuman yang saya buat ini adalah demi memastikan pembangunan dan kemajuan di DUN Segama dapat dilaksanakan segera," katanya yang ditemui pada sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu pada Sabtu.

BACA: Yusof Yacob tamatkan spekulasi, umum keluar Warisan dan sokong kerajaan

BACA: Tiada presiden parti yang meredakan ahli keluar parti - Shafie Apdal

Tambah Mohamaddin beliau akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan kerana perkara tersebut tidak dapat dilakukannya sebelum ini kerana masih bersama Parti Warisan.

"Saya akan menandatangani memorandum dengan kerajaan demi memastikan kemajuan dan pembangunan akan dapat disalurkan di kawasan yang diwakili saya di DUN Segama dan Parlimen Lahad Datu," jelasnya.

Pada Sabtu, Mohamaddin mengadakan sidang media mengenai keputusannya meninggalkan Parti Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada 8 Oktober lalu, bekas Ketua Penerangan Warisan, Datuk Yusof Yacob bertindak meninggalkan parti itu dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).