Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan hubungan beliau bersama rakan Ahli Dewan Undangan Negeri dari parti DAP di Perak tiada masalah meskipun video beliau tular baru baru ini.

Jelasnya, beliau telah menjelaskan kepada kepimpinan tertinggi Bersatu berkenaan apa yang dikatanya ketika menemui sekumpulan nelayan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

"Saya rasa semua perlu lebih fokus kepada PRK Tanjung Piai dan memastikan kemenangan berpihak kepada Karmaine (Sardini) sekali gus menjadi Ahli Parlimen kawasan itu.

"Ia (video tular) diambil di luar konteks sebenar, saya telah menjelaskan kepada kepimpinan Bersatu. Apa yang berlaku? Biarlah sampai kepada pihak kepimpinan PH terlebih dahulu," katanya.

Ditanya sama ada permohonan maaf akan dibuat seperti yang ditegaskan Setiausaha DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh, Ahmad Faizal berkata, tiada kesalahan yang beliau lakukan dan hubungannya bersama rakan DAP di Perak amat baik.

"Tidak perlu minta maaf. (Soalan wartawan), adakah saya bercakap sesuatu yang salah? Semalam saya bersama kawan DAP tiada masalah, kami meraikan hari Keputeraan Tuanku Sultan Perak dan semua dalam keadaan gembira," kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam sidang media Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Putrajaya pada Isnin.

Dalam sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini, Ahmad Faizal dilihat memberitahu penduduk mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana tidak sealiran dengan kehendak sekutunya dari DAP.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak, dalam rakaman berdurasi sekitar tiga minit itu dilihat bersama calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Karmaine Sardini sedang duduk bersantai dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai, sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya itu.