KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan parti-parti politik serta sesetengah pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dalam soal mengkafirkan pihak lain.

Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga, tindakan itu hanya mengundang kacau-bilau dan bukan tradisi serta budaya Islam.

"Tak mungkin kita ini bicara tengok al-Quran dan hadis, kupas ikut (kehendak) kita... Itu yang kacau-bilau bila parti ini kata dia ini kafir, parti ini pun kata parti tu kafir.

"Tun Mahathir pun sambut, kata parti ini kafir... Ini apa benda ni di Malaysia ni? ABIM dari awal apabila timbul soal kafir atau mengelirukan, timbul isu dua imam, dua masjid, dua khabilah... dari awal ABIM mendepani isu ini," jelasnya.

Tambah Anwar, bahkan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor yang juga Timbalan Presiden Pas pernah menolak tindakan kafir-mengkafir sesama Islam.

"Menariknya Almarhum Sheikh Fadzil Mohd Noor yang juga Timbalan Presiden menolak kafir-mengkafir sesama Islam.

"Saya tidak setuju andaian menyinggung kafir oleh pimpinan Pas, saya juga tidak setuju cara Tun Mahathir menjawab mengkafir pada yang lain. Ini bukan tradisi dan budaya Islam dan tidak boleh dipertahankan," katanya lagi.

Turut dipersoal Anwar, reaksi serta teguran daripada agamawan terhadap pihak terbabit yang dilihat sepi. 

"Mana Mufti, mana Majlis Agama? Tidak boleh tegur ke bab ini? Budaya mengkafir ini sangat dibantah ulama-ulama," katanya lagi.

PKR harus bantah

Sementara itu, Anwar turut menjelaskan bahawa PKR tidak akan melayan sikap berkenaan, malah akan membantahnya sekiranya dilakukan mana-mana pihak.

"Pandangan kita jelas... hentikan naratif merosakkan tumpu pada dasar dan jangan serangan soal itu kerana ia menimbulkan keadaan kacau-bilau yang tidak mungkin kita kawal.

"Saya punya pendirian, kita bagi arahan kepada PKR jangan layan. Bahkan, harus bantah sikap tidak jelas atau memberi pandangan ke arah itu tidak sihat sama sekali," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Muktamar Sanawi ke-51 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang pada Sabtu.

Pada Jumaat, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya untuk bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi kedudukan.

Jelas Dr Mahathir, sehingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuat terhadap UMNO suatu ketika dulu bahawa parti itu adalah kafir.

Justeru dengan kerjasama Pas dan UMNO ujarnya lagi, menggambarkan Pas bukan lagi parti Islam.