Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan tetap dalam kepimpinan UMNO dalam suasana lanskap politik negara tidak kira dalam susah atau senang.

Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan, semua perlu bersatu padu dan berganding bahu demi menjayakan agenda parti bersama.

"Saya sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perkara ini. Kita semua perlu bersatu padu dan berganding bahu demi menjayakan agenda kita bersama.

Saya akan tetap dengan kepimpinan UMNO, dalam susah dan senang - itu janji saya," katanya dalam ciapan terbaharunya pada Sabtu.


Terdahulu, Ahmad Zahid melahirkan keyakinan bahawa Hishammuddin tidak terlibat dengan komplot bagi menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, pihaknya percaya Hishammuddin ikhlas untuk melihat UMNO bersatu padu dan semua pihak harus berusaha untuk mewujudkan kebersamaan antara parti-parti Islam dan Melayu di negara ini.

Sebelum ini, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan mendesak Hishammuddin menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan dua lagi parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah.

Majlis Setiausaha PH menegaskan, mereka berpegang teguh kepada Muafakat PH yang dipersetujui secara bersama oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan DAP untuk kekal dalam kerajaan PH yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Kabinet.

Bagaimanapun, Hishammuddin sebelum ini telah menafikan dakwaan tersebut.

Hishammuddin sebelum ini dilaporlan mengucapkan terima kasih kerana Pakatan Harapan (PH) menyifatkannya masih lagi relevan dalam pentas politik negara.

Katanya, beberapa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mensasarkan beliau di dalam Dewan Rakyat membuktikan kerelevanan disebut Presiden PKR itu sendiri.