KANGAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menggelar parti Pas dengan gelaran 'Parti Ajaran Sesat'.

Sebaliknya, gelaran terhadap parti Islam itu telah diungkapkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bersama-sama Pas dalam gabungan tersebut.

Menurut Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau juga tidak pernah mengeluarkan kritikan kepada Pas sebagai sebuah parti.

Beliau berkata, ia sebaliknya ditujukan kepada individu atau pemimpin tertentu di dalam parti berkenaan yang dilihat keterlaluan, terutama dalam mengeluarkan kenyataan termasuk kenyataan ke atas beliau sendiri.

"Saya kritik (mereka) pun, tak pernah (lagi saya) kritik Pas sebagai sebuah parti, saya kenang jasa mereka, (ketika) saya susah (mantan Presiden Pas), (Allayarham) Ustaz Fadhil (Noor) berada di rumah setiap hari, (kemudian) saya pergi Kelantan, Tok Guru (Allahyarham) Nik Abdul Aziz Nik Mat sediakan stadium untuk saya berucap, saya tidak lupa (jasa parti Pas itu).

"(Tetapi apa) yang saya kritik (ialah) sikap memanggil orang (dengan gelaran tidak baik), hina orang, cerca orang, kemudian bagi kenyataan yang tidak cerdik,

"Seperti mana saya kata di awal tadi, kritikan saya kepada beberapa orang (di dalam) Pas, tidak pernah saya sebut Pas itu parti ajaran sesat, yang kata Pas ajaran sesat (adalah) Muhyiddin, selepas itu hangpa (ahli-ahli Pas) julang dia. Suruh dia bertaubat dahulu," kata Anwar ketika menyampaikan ucaptama Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan bersama Anwar Ibrahim di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menempelak kenyataan yang dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu kehadiran wakil rakyat di Parlimen.

Tegas calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tambun itu, sekiranya perlu dibuat pemilihan Ketua Pelajar, seharusnya individu yang dipilih adalah dari kalangan pelajar yang tidak 'kerap' ponteng sekolah.

Sebelum ini, Anwar menuntut Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari berhubung dakwaannya bahawa Presiden PKR itu akan mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), membenarkan perkahwinan sejenis, serta menyokong isu komunis.

Sekiranya gagal, beliau akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Razman yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol.

Bagaimanapun, Razman enggan memohon maaf dan bersedia berdepan tuntutan berkenaan.

Razman berkata, pendirian itu dibuat demi menjaga akidah ummah dan kelangsungan Islam serta selari dengan dasar Pas untuk terus mempertahankan kesucian Islam, kemerdekaan dan kedaulatan negara.