“Saya tidak tahu mengapa dia letak jawatan, mungkin ada sebab.”

Demikian jelas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan tindakan Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Ujarnya, beliau tidak mengetahui kemelut yang sedang melanda dalam PKR buat masa ini.

Dr Mahathir berkata demikian di 'Dialog Pemain Industri Teknologi Tinggi Bersama Perdana Menteri' yang berlangsung di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui mengatakan beliau baharu sahaja dimaklumkan berkenaan tindakan Nurul Izzah.


“Saya baharu mendapat berita berkenaan isu ini dan saya akan berjumpa dan bertanya dengan dia apa yang berlaku. Itu sahaja komen saya," kata Mohamed Azmin ketika ditemui di majlis yang sama, di sini hari ini.

Terdahulu, Nurul Izzah dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, berkuat kuasa hari ini.

Namun, beliau masih akan meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kata kenyataan itu lagi.