KUALA LUMPUR:Sebarang tindakan disiplin yang kemungkinan dikenakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir seharusnya diambil berdasarkan lunas-lunas atau Perlembagaan parti itu.

Ketua AMK Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, bagaimanapun dia berpendapat perkara itu seharusya diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu dengan melibatkan pimpinan parti dan AMK.

BACA: Tindakan Akmal Nasir belakangkan Presiden, khianat parti

"Kami telah minta agar semua pimpinan AMK yang terlibat dalam isu itu untuk menyelesaikannya secara berhemah di peringkat dalaman parti.

"Isu sama ada perlu ada tindakan disiplin atau tidak mestilah diselesaikan menurut lunas parti dan kita minta (perkara ini) dibincang secara dalaman.

"Tambahan pula, (setiap isu yang berbangkit) perlu diselesaikan mengikut proses tertentu (dan) dalam Keadilan (PKR), kita mengambil semangat maufakat dan musyawarah (dalam menyelesaikan sesuatu isu)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Isnin.

Sebelum ini Naib Ketua AMK, Jestin Raj Savarimuthu dan enam lagi anggota Exco AMK dilaporkan mendesak Akmal Nasrullah meletakkan jawatan susulan penularan perbualan WhatsApp yang didakwa mengaitkannya mempersenda Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, AMK Cawangan Port Dickson turut mendesak Lembaga Disiplin PKR menyiasat rakaman perbualan Akmal Nasrullah membabitkan isu sama.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan satu perbualan dipercayai membabitkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk daripada AMK telah tular, dengan kandungannya antara lain menyelar Anwar.

Menerusi satu perbualan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti dilihat dan dilaporkan portal MalaysiaNow, perbualan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar, berikutan mereka mendakwa beberapa kali dikecewakan presiden mereka sendiri.

Perasaan itu timbul selepas 'kegagalan' Ahli Parlimen Port Dickson itu membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi tangkap layar yang dilihat portal itu, dua pemimpin utama AMK mengkritik Anwar dan mengatakan akar umbi parti dipermainkan dan berterusan bergaduh sesama sendiri.

BACA: Perbualan pemimpin muda PKR tular, luah rasa kecewa terhadap Anwar