PETALING JAYA: Selangor masih belum memutuskan sama ada akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau belum mendapat perkenan membincangkan perkara itu dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kami akan membincangkannya di setiap peringkat dan sudah tentu saya perlu mendapatkan perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia dan pucuk pimpinan (PH),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan 'Coffee Table Book' bertajuk 'Menelusuri Kisah Air Selangor' yang diterbitkan sempena ulang tahun ketiga penubuhan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd di One Utama di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau yakin PH akan dapat mengekalkan DUN Selangor di bawah pentadbiran PH.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar daripada PKR dan menerusi gabungan parti PH yang sudah mentadbir negeri sejak 2008 adalah menjadi misi beliau untuk mempertahankan negeri Selangor.

“Sudah tentu, perkara paling penting ialah kami mesti menang dan kita mahu mempertahankan negeri ini sebaik mungkin.

"Untuk mendapatkan dua pertiga, atau yang terbaik, mendapatkan majoriti mampan untuk kerajaan yang akan kita bentuk pada masa hadapan," katanya.

Pada 2018, PH memenangi 51 daripada 56 kerusi di negeri Selangor namun selepas Langkah Sheraton pada 2020, PH kehilangan 11 kerusi tetapi masih menguasai 40 kerusi. - Sinar Harian