SELAYANG: Kerajaan Selangor memuktamadkan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa untuk memberikan taklimat berkenaan perkara itu.

"Apa juga keputusan akan diputuskan selepas saya memberi taklimat kepada baginda esok. Jika ada perubahan saya akan umumkan kemudian.

"Setakat ini, muktamadnya 98.735 peratus DUN akan dikekalkan, tidak akan dibubarkan," katanya ketika Karnival Jelajah Iltizam Selangor Penyayang di Kampung Selayang Baru di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status pembubaran DUN Selangor selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen menerusi perutusan khas pada Isnin.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, PH kekal pendirian tidak mahu mengadakan PRU15 pada tahun ini dengan mengambil risiko kemungkinan banjir.

"Lebih baik tunggu selepas musim tengkujuh selesai iaitu sekitar Februari atau Mac. Saya yakin baginda juga sangat prihatin dengan rakyat.

"Sebelum ini sudah ada perbincangan awal, sebab itu keputusan yang diambil sentiasa mengambil pandangan dan nasihat baginda," katanya.

Pada Rabu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Bagaimanapun Ismail Sabri mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya iaitu membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama.

"Walaupun ada beberapa negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing namun ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos," katanya. - Sinar Harian