SHAH ALAM : Bekas Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh mencadangkan parti itu menyenarai hitam calon yang masih lagi sehingga kini tidak memulangkan semula wang deposit ketika menjadi calon pilihan raya.

Bahkan, beliau juga mencadangkan PKR melakukan perkara sama kepada ahli yang dilihat seperti ingin menjatuhkan parti dalam media sosial.

Tegasnya, dalam pilihan raya akan datang, PKR memerlukan calon yang ingin memenangkan parti, bukan mereka yang mahu menangkan diri sendiri.

“Kita harus dilihat oleh lawan kita dan segala semua pengundi bahawa kita merupakan parti yang layak dan wajar untuk diberikan mandat dan kepercayaan.

“Kalau kita masukkan dalam Facebook, asyik serang pasal parti kita, sikit-sikit masuk Facebook, orang nak undi kita pun meluat, menyampah.

“Tak bolehkah simpan sikit? Tiadakah channel dalaman? Sikit-sikit, kenyataan media. Sikit-sikit, masuk Facebook. Sikit-sikit, live,

"Hebat konon, tapi inilah yang menghancurkan parti. Inilah yang membawa kekalahan kita,” katanya.

Fuziah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Ke-16 PKR di sini hari ini.

Tambah beliau, sekiranya dari sekarang parti gagal untuk mendapatkan keyakinan rakyat, mustahil PKR mampu menang dalam pilihan raya atau mempertahankan kerusi sedia ada.