MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjelaskan bahawa menyerahkan balik mandat kepada rakyat adalah jalan penyelesaian ketidakstabilan politik yang berlaku di negeri itu.

Jelasnya, meskipun reda dengan tindakan yang diambil dalam kalangan rakan-rakannya untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, namun baginya, hanya mandat rakyat dapat menyelesaikan kemelut politik yang tidak berkesudahan itu.

"Apabila kemelut ini berlaku, apa boleh saya buat apabila dalam kalangan rakan-rakan saya yang keluar lepas itu hilang kepercayaan?

"It's okay... Pada saya itulah, jawatan sementara, pemimpin datang dan pergi. Jadi seeloknya kita serahkan balik kepada pada rakyat. Rakyat memberi mandat kepada siapa yang mereka rasa (layak), apabila perisytiharan pembubaran telahpun dibuat," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Tambah Sulaiman, ketika ini adalah masa terbaik buat semua wakil rakyat menyerahkan semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan pemimpin mereka.

Ujarnya, beliau telah menjalankan tugas yang terbaik selaku Ketua Menteri Melaka selama 19 bulan kerajaan negeri pimpinannya sebelum diruntuhkan.

"Saya hanya menjalankan tugas saya. Saya nampak tidak ada jalan penyelesaian, jadi eloklah masing-masing (serah mandat kepada rakyat) kalau kata boleh berkhidmat.

"Inilah masa yang terbaik kita semua serah balik mandat kepada rakyat dan biar rakyat menentukan walaupun saya tahu dalam keadaan COVID-19 ini tetapi tidak ada apa lagi yang boleh saya lakukan," jelasnya lagi.

Terdahulu, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 berkuat kuasa 4 Oktober 2021.

Ia selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali Rustam susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kerajaannya.