KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim (PN - Arau) di Dewan Rakyat pada Isnin beberapa kali membangkitkan isu pasport antarabangsa yang dikembalikan secara kekal kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil menyindir, beliau mendakwa keputusan yang dibuat mahkamah itu adalah ‘keputusan hebat’.

Bahkan, beliau juga mencadangkan pasport antarabangsa Datin Seri Rosmah Mansor, 71, turut dipulangkan.

“Kalau sekiranya kita bagi kepada TPM, kita kena bagi juga kepada Datin Seri Rosmah. Datin Seri Rosmah dapat pasport sementara… Setuju tak Tampin? Kita bagi kepada Rosmah?

“Kita bagi, mana boleh kita tak bagi. Kenapa boleh bagi kepada TPM, kat Rosmah tak bagi? Kasihan kat Rosmah dan juga rakyat Malaysia yang lain,” katanya sinis.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa kemudian mencelah: “Tampin hanya mempercayai dari sudut undang-undang. Kalau undang-undang kata begitu, reda sajalah," katanya.

Shahidan kemudian berkata: “Yang Berhormat, ini saya cadangkan supaya pasport antarabangsa diberi kepada semua, bukan kepada individu tertentu sahaja.

“Saya menyokong supaya diberi kepada semua sebab ini Madani...Madani maksudnya bagi kepada semua,” katanya lagi.

Media pada Isnin melaporkan Ahmad Zahid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.

Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Sementara itu, pada Selasa lalu, Rosmah dibenarkan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi membolehkan dia berlepas ke Singapura bagi melawat anak perempuannya dan seorang daripada cucunya yang tidak sihat.

Pasport Rosmah diserahkahkan kepada mahkamah pada 2019 selepas dia didakwa atas pertuduhan rasuah.

Pada 1 September tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun; di samping denda RM970 juta, yang jika gagal dibayar akan boleh membawa kepada hukuman penjara 30 tahun.

Rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan hukuman itu akan didengar pada Julai depan.