Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan pembabitannya dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Katanya, khabar angin itu merupakan fitnah semata-mata.

Menurut beliau, kepimpinan kerajaan boleh dikritik secara berhemah tetapi tidak boleh dijatuhkan secara paksaan.

"Dalam Sunah, seseorang ahli sunah boleh mengkritik pemimpin dalam apa bentuk sekali pun, tetapi hukumnya haram bagi menjatuhkan pemimpin secara kekerasan, jadi saya sebagai seorang ahli sunah, itulah pendirian saya.

"Kalau siapa nak kritik pemimpin dia boleh berbuat demikian, tetapi menjatuhkan pemimpin secara kekerasan hukum dia haram; jadi orang Perlis ni orang sunah, tak payahlah mana-mana pihak masuk dalam senarai," jelas beliau.

Shahidan ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perhubungan Umno Negeri Perlis di Kangar.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat tokoh dari UMNO yang menjadi dalang untuk menggulingkan kerajaan.

Shahidan adalah antara 20 nama ahli parlimen BN disenaraikan blog media sosial yang berkomplot mahu menggulingkan kerajaan.

Turut tersenarai ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Khairy Jamaluddin.