KUALA LUMPUR: Siasatan dakwaan dana judi melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dihenti atau digugurkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, beliau hanya menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuka fail memandangkan maklumat yang diperolehi setakat ini adalah bersifat umum.

"Adalah penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

"Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah," katanya dalam kenyataan yang dikongsi dalam Twitternya di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu Azalina berpendapat adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan bertulis yang diberikan dalam Dewan Rakyat mahupun membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip rule of law dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat," katanya lagi.

Ahmad Fadhli dilaporkan menyindir pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai dakwaan bahawa PN ada menerima dana daripada syarikat perjudian bagi kempen PRU15.

Susulan itu pembangkang menyeru perdana menteri meminta maaf susulan kenyataannya sebelum ini mendakwa parti dalam PN menerima dana judi.