KUALA LUMPUR: Jangan biarkan sindiket orang tengah terus menekan golongan nelayan di negara ini.

Itu penegasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan ringkas dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Presiden PKR itu menggesa kerajaan segera mencari jalan penyelesaian.

Tegas Anwar, isu berkenaan amat mendukacitakan kerana memberi kesan mendalam kepada golongan nelayan dan keluarga mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.


"Kerajaan menerusi Kementerian terlibat perlu menyatakan pendirian terkait perkara ini sekali gus mencari jalan untuk merungkai permasalahan yang berlaku dan menawarkan jalan penyelesaian.

"Usah biarkan sindiket orang tengah mendominasi bekalan sektor perikanan dan terus menekan golongan nelayan di negara ini," kata beliau.

Baru-baru ini, media melaporkan kewujudan orang tengah yang mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara sehingga menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini tidak stabil.