KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mendakwa tidak tahu-menahu bahawa namanya tersenarai dalam salah seorang yang menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kerja Raya itu memberikan alasan bahawa beliau tidak menonton berita.

“Ada nama saya? Saya tak perasan pula ada nama saya. Saya tak pernah tengok berita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini mendedahkan nama 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

Pendedahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri itu ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU2022 pada Rabu.

Pada Khamis, beliau mengakui telah memaafkan tindakan 10 Ahli Parlimen terbabit dan akan terus memantau bersama Lembaga Disiplin parti mengenai pendirian mereka, atau jika ada sebarang gerakan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman bagaimanapun tidak menafikan bahawa beliau antara yang termasuk dalam senarai 10 orang Ahli Parlimen berkenaan.

“Saya tak nafi, tapi saya tak tahu. Kalau ada, apa masalah?” soalnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai ucapan Ahmad Zahid yang dilihat seperti berbaur sindiran kepada individu tertentu, Abdul Rahman bertindak menafikannya.

“Bukan sindiran. Itu maksudnya, menasihati kita, UMNO ini, supaya bersatu kembali. Itu bukan sindiran. Tafsiran (masing-masing) sahaja (mengatakan) sindiran,” katanya.