TAPAH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya, tidak perlu usaha pujuk-memujuk bagi memastikan Ahli Parlimen terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang Sidang Khas Parlimen 26 Julai ini.

Bersatu juga yakin, Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), termasuk dari Barisan Nasional (BN) akan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, biro politik parti itu yang dipengerusikan Muhyiddin turut membincangkan isu semasa yang berlaku, di samping isu-isu ekonomi dan rakyat.

"Kami berpendirian bahawa segala tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menyelamatkan negara daripada pandemik COVID-19, memperbaiki ekonomi rakyat, dan untuk memastikan agar rakyat hidup kembali seperti normal.

"Inilah tumpuan utama kami. Jadi walaupun isu politik itu agak penting juga, tetapi tumpuan kepada usaha yang jauh lebih penting ini kami beri perhatian yang lebih serius," ujar beliau.

Ahli Parlimen Tambun itu ditemui semasa meninjau program ‘outreach’ vaksinasi di Kampung Sungai Lah, Tapah, Perak pada Jumaat.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, Ahli Parlimen UMNO dibenarkan menggunakan budi bicara jika berlaku sebarang pengundian di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam semalam.

Ahmad Faizal berharap, semua pihak akan menggunakan sepenuhnya sidang khas Parlimen itu untuk fokus terhadap permasalahan rakyat.

Dalam masa sama, beliau berharap tidak ada usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika sidang khas itu kelak.

Baru-baru ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan memaklumkan Sidang Khas Parlimen akan berlangsung selama lima hari mulai 26 Julai ini.