SHAH ALAM : Kes pemberian wang tunai kepada pengundi-pengundi di Terengganu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan yang mempunyai bukti jelas akan disyorkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

“SPRM menjalankan siasatan berdasarkan penguatkuasaan undang-undang dan pembuktian kesalahan.

“Justeru, semua siasatan yang mempunyai bukti yang jelas dan mencukupi akan disyorkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya pada Khamis.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan SN Rayer (PH-Jelutong) apakah tindakan yang telah diambil oleh SPRM mengenai laporan wang tunai atau dianggap sedekah yang telah dibayar kepada pengundi-pengundi di Terengganu semasa PRU15.

Pada Februari, SPRM dilapor sedang mengenal pasti 90 individu yang didakwa menerima wang daripada parti politik untuk mengundi ketika PRU15 di Terengganu.

Sebelum itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 membabitkan kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Ahmad berkata, petisyen difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari itu dibuat kerana beliau mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam. - Sinar Harian