KUALA LUMPUR: Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh keramat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan19 November dipilih sebagai hari pengundian.

Melihat kepada perkembangan ini, Astro AWANI menjalankan satu kaji selidik #SuaraMalaysia bertujuan mengkaji, sejauh mana rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pengundi?

Disertai seramai 2,233 responden, kaji selidik yang diperolehi setakat jam 6 petang hari ini, memperlihatkan seramai 2,185 responden atau 97 peratus sedar akan peranan mereka sebagai pengundi.

Dua peratus atau 46 responden mengakui mereka tidak sedar peranan mereka sebagai pengundi.

Sementara satu peratus lagi atau bersamaan 22 individu menjawab bahawa mereka tidak tahu tentang tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRU15.

Majoriti sedar mereka tanggungjawab sebagai pengundi

Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15 yang akan berlangsung pada November 2022, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Perbincangan yang dilakukan dalam Buletin Astro AWANI disertakan dengan diskusi bersama wakil-wakil parti politik, penganalisis serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Astro AWANI juga menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di semua platform media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.

Pada Jumaat, Astro AWANI akan mengemukakan soalan baharu. Jangan lupa sertai ya!