KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya ibu kota Kuala Lumpur ditukar statusnya menjadi sebuah negeri berdaulat, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Lip Eng berpandangan bahawa perubahan ini dapat mewujudkan sebuah sistem pentadbiran yang sama seperti negeri lain yang mempunyai Dewan Undangan Negeri yang mana rakyat-rakyat di kawasan tersebut dapat memilih anggota DUN mereka tersendiri.

"Melalui pemilihan seperti ini juga, seorang menteri besar dapat dilantik dan pimpinan beliau ini dapat mencerminkan kehendak dan kemahuan masyarakat Kuala Lumpur.

"Kuala Lumpur juga boleh dikekalkan pentadbirannya di bawah Yang di-Pertuan Agong atau Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, merangkap Sultan asal kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Lip Eng juga berkata Kuala Lumpur adalah antara wilayah yang paling banyak menyumbangkan kepada ekonomi negara dan jumlah penduduknya melebihi sesetengah negeri lain.

"Sudah tiba masanya kuasa demokrasi mereka dihormati.

"Sesebuah negeri itu hanya akan maju sekiranya rakyatnya diberikan kuasa untuk memilih secara sepenuhnya," katanya lagi.

Beliau mengemukakan cadangan ini selepas berlakunya perbincangan yang melibatkan perpindahan sebuah negeri untuk menjadi sebuah negara.

Katanya, sudah tiba masanya penilaian semula dilakukan terhadap Wilayah-Wilayah Persekutuan yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Wilayah-wilayah ini digabungkan demi menyemarakkan semangat kekitaan di antara kawasan semenanjung dan Borneo.

"Akan tetapi, pengurusan dan pentadbiran kawasan ini tidak berpaksikan kepada penduduk-penduduk kawasannya.

"Selain daripada pengundian ahli parlimen, penduduk di wilayah persekutuan ini tidak dapat memilih wakil tempatan mereka kerana pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan dilakukan secara eksklusif oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Jelas beliau, pemilihan datuk bandar beberapa jawatan lain di Kuala Lumpur menunjukkan ia dikawal secara terus oleh kerajaan pusat.