KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan agar pentadbiran kerajaan negeri diteruskan demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dizahirkan ketika sesi sembah menghadap Sultan Sharafuddin Idris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pagi tadi.

"Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.

"Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Sementara itu, memetik laporan media, Amirudin berkata kerajaan negeri mengekalkan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, DAP menzahirkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN melibatkan tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata langkah untuk tidak membubarkan DUN melibat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan adalah selari dengan keputusan Majlis Presiden PH.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Naib Presiden UMNO itu dalam perutusan khas turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat Parlimen.

Selain tiga negeri di bawah pentadbiran PH, Pas setakat ini belum menyatakan kata putus sama ada kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri pentadbiran mereka atau sebaliknya.