KUCHING: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sudah menghantar senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, 20 nama telah diberikan mewakili SUPP untuk PRN12 kali ini.

“Secara dasarnya, SUPP memang diberikan 20 kerusi. Jadi saya pun sudah menghantar senarai nama calon kepada Pengerusi GPS, iaitu Abang Johari,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Waterfront Batu Kawah pada Isnin.

Selain itu, Dr Sim memberitahu, tujuh penyandang SUPP sebelum ini akan dikekalkan untuk mempertahan kerusi mereka.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew telah mengesahkan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada SUPP akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam PRN12 kelak.

Pada PRN11, SUPP memegang tujuh kawasan DUN iaitu di DUN Simanggang yang dimenangi oleh Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Seri Huang Tiong Sii (DUN Repok), Lo Khere Chiang (DUN Batu Kitang), Datuk Seri Profesor Dr. Sim Kui Hian (DUN Batu Kawah), Datuk Ding Kuong Hiing (DUN Meradong), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (DUN Piasau), serta DUN Senandin yang dimenangi oleh Datuk Seri Lee Kim Shin.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN dengan 47 dimiliki PBB, 11 kerusi (PRS), tujuh kerusi (SUPP) dan tiga kerusi (PDP) menjadikan Kerajaan GPS memiliki sebanyak 68 kerusi.