KUALA LUMPUR: Keberanian Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan pandangan beliau tentang Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Berhad adalah sesuatu yang wajar mendapat pujian dan sokongan semua pihak, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, beliau secara peribadi ingin mengucapkan tahniah kepada Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, biarpun UMNO adalah saingan kepada partinya, masa depan negara bergantung kepada parti politik termasuk UMNO, yang perlu dipimpin oleh mereka yang bersih dari rasuah, cekap mentadbir, dan mempunyai wawasan.

BACA: 'Jika Najib mahukan pengampunan, ikut proses' - Tok Mat 

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tok Mat kerana masih ada suara-suara berani di dalam UMNO yang menyanggah kempen Najib yang cuba membodohkan rakyat (terutamanya orang Melayu) bahawa dia tidak bersalah.

“Walaupun UMNO adalah saingan KEADILAN, masa depan negara bergantung kepada parti-parti politik (termasuk UMNO) dipimpin oleh mereka yang bersih dari rasuah, cekap mentadbir dan mempunyai wawasan.

“Jika pun parti yang menang (pada suatu masa nanti) adalah KEADILAN, negara masih memerlukan barisan pembangkang (seperti UMNO) yang cekap dan bersih untuk membawa isu-isu rakyat serta menyemak tindakan kerajaan,” katanya dalam catatan melalui Facebook rasminya, hari ini.

Dalam wawancara bersama Asia Times baru-baru ini, Mohamad dilaporkan sebagai berkata, Pengampunan DiRaja sebelum seseorang individu yang didapati bersalah di Mahkamah, menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, adalah sesuatu yang salah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.

Mohamad berkata, Najib perlu melalui proses untuk mendapatkan pengampunan, seperti mana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris dan Datuk Mokhtar Hashim.

Selain itu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau berpandangan masalah yang melingkari negara masa kini berakar dari kegagalan UMNO dan Barisan Nasional untuk memberi penerangan yang telus tentang skandal kewangan 1MDB. 

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa, kempen berterusan Najib yang ingin menyelewengkan fakta yang telah dibentangkan di mahkamah adalah berbahaya kepada UMNO dan negara.

Tambahnya lagi, sebahagian besar dari rakyat Malaysia percaya bahawa Najib adalah bersalah dan telah menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB.

“Sebab itu, untuk negara bergerak ke hadapan dan menerima hakikat kita akan terus dibebankan dengan bencana kewangan yang berpunca dari 1MDB, sekurang-kurangnya kita wajar diberi keadilan bermula dengan dalang-dalang utama 1MDB dihukum seadilnya oleh mahkamah.

“Walaupun kita tidak akan dapat kembali semua wang yang telah diselewengkan, sekurang-kurangnya rakyat mendapat keadilan apabila dalang-dalang utama 1MDB dihukum,” katanya lagi.