KUALA LUMPUR: Pas tidak pernah membuat pusingan 'U' mengenai kerjasama dengan UMNO, sebaliknya menegaskan mereka tetap komited dalam agenda penyatuan ummah menerusi platform Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul persoalan untuk parti itu kembali kepada UMNO.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas tetap berpendirian untuk mendamaikan dua pihak yang dikatakan bertelagah itu, iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).  

"Kita tak pernah pusing, kita jalan lurus. Pas menegaskan penyatuan ummah ini kita tidak pernah undur ke belakang. Tidak pernah kita ubah dari dulu sampai sekarang. Tak fikir timbul soal 'pusingan U'," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas mengenai laporan media tentang kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang membayangkan Pas akan akan membuat 'pusingan U’, dan seterusnya kembali kepada Muafakat Nasional (MN) tidak lama lagi.

PRU15 | UMNO tetapkan tiga syarat kepada Pas


Ditanya mengenai tiga syarat Ahmad Zahid kepada Pas sekiranya mahu kembali bekerjasama dengan UMNO, Tuan Ibrahim berkata perkara itu tidak pernah disebut secara rasmi.

"Saya tengok kenyataan rasmi tidak ada syarat tersebut, tidak ada dalam kenyataan rasmi dia. Saya fikir kalau betul tiga syarat, mesti dia masuk dalam kenyataan rasmi. Dia tidak sebut syarat-syarat tersebut," katanya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberikan tiga syarat kepada Pas dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Tiga syarat berkenaan termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

PRU15 | Pas perlu putuskan hubungan dengan PN secepat mungkin


Diminta mengulas pandangan beberapa pihak bahawa UMNO dan Bersatu tidak mungkin akan bersama, Tuan Ibrahim berkata, Pas tetap berpegang kepada ajaran Islam dalam usaha mendamaikan kedua-dua parti itu.

“Kalau kita tengok, kalau dua kumpulan umat Islam saling bertelagah, hendaklah kamu damaikan mereka. Tuhan suruh kita damaikan, kalau nak kira sensitif rasa hati, Pas lagi lebih sensitif dengan UMNO 60 tahun, banding dengan Bersatu, sebahagian dia dari UMNO.

“Sebab itu bagi kami, ada beberapa isu kecil saja, kita cuba usahakan dulu. Kalau berjaya kita teruskan, kalau tak berjaya kita ada pelan kedua,” katanya lagi.