KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menegaskan bahawa kuasa untuk membubarkan Dewan Rakyat adalah antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Malah katanya tindakan sebahagian anggota jemaah menteri Kabinetnya yang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak bersetuju pembubaran parlimen dalam masa terdekat juga tidak memberikan apa-apa kesan terhadap keputusan beliau sebagai Perdana Menteri.

Keabsahan kerajaan pimpinan beliau katanya tidak tergugat walaupun 12 anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kabinet kerajaan akan tetap berjalan walaupun seandainya terdapat barisan anggotanya yang meletakkan jawatan selain perlantikan anggota Kabinet yang baharu boleh dibuat.

"Kalau mereka menarik diri dan kurang daripada 112 (yang menyokong) iaitu majoriti mudah, maknanya kerajaan tumbang seperti yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin dahulu. Sebab itu seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan.

"Menteri Kabinet tidak ada korum, kalau menteri Kabinet letak jawatan sekalipun Kabinet masih berfungsi. Kita lantik menteri yang baharu menggantikan menteri yang letak jawatan. Ini tidak ada letak jawatan cuma tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong minta supaya parlimen tidak dibubarkan," katanya yang ditemui media selepas hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah Bersamaan 2022 Masihi di WTCKL hari ini.

Sebelum ini anggota jemaah menteri dari Bersatu dan Pas tidak bersetuju dengan pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini kerana bimbang risiko banjir.

Seramai 12 ahli Kabinet kedua-dua parti berkenaan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan pendirian mereka.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan surat itu ditandatangani oleh semua menteri Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu PRU-5 diadakan tahun ini.

Menteri PN dikatakan tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan berlaku musim hujan lebat bermula penghujung November nanti.