KUALA LUMPUR: Tangisan para perwakilan mengiringi pemberian Anugerah Tokoh Pemuda 2023 kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang pernah memimpin sayap itu dari tahun 1987 hingga 1993 diberikan penghargaan atas kecekalannya berdepan cabaran dalam politik dan pembunuhan karakter sehingga dipenjarakan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyampaikan anugerah berkenaan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis.

Suasana bertukar syahdu apabila kedua-duanya dilihat mengalirkan air mata, sebelum seorang lagi anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Hairi Mad Shah menyertai mereka.

Mereka kemudiannya berpelukan manakala perwakilan yang hadir dilihat melaungkan takbir dan Bossku.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Sinar Harian