Punca kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai tidak boleh diletakkan di atas bahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semata-mata.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, semua pemimpin PH kini perlu bermuhasabah dan dipertanggungjawabkan atas kegagalan itu.

Jelasnya, semua kerja dijalankan untuk PRK itu dibuat secara bersama manakala keputusan mesyuarat selama ini dilakukan secara kolektif .

“Mengapa apabila kalah PRK hanya Dr Mahathir yang menjadi sasaran?

“Rakyat sudah mual dengan pemimpin-pemimpin yang menyalahkan Dr Mahathir seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang hanya bercakap mengenai perebutan jawatan.

“Dia harus sedar Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum layak menjadi perdana menteri kelapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Khairuddin mengulas ciapan Syed Husin yang menyifatkan kekalahan PH di PRK Tanjung Piai adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Khairuddin turut mempertikaikan pencapaian Syed Husin di dalam politik serta sumbangan dalam pembangunan negara.

“Hari-hari mereka bercakap mengenai peralihan kuasa. Apakah semua permasalahan negara selesai sekelip mata jika Anwar menjadi perdana menteri?

“Keadaan ekonomi negara telah teruk dirosakkan oleh rejim kleptokrasi sehingga hutang mencecah RM1.2 trilion. Bolehkan sesiapa sahaja yang menggalas tanggungjawab menjadi perdana menteri dapat menyelesaikan polemik ini dengan pantas?” soalnya.

“Bagi saya, situasi akan menjadi lebih buruk jika Anwar menjadi perdana menteri. Adakah Syed Husin tidak lihat sejarah semasa Anwar menjahanamkan ekonomi negara pada 1997?” soalnya lagi.

BACA: 'Saya dah jangka, tapi...' - Tun M terkejut PH kalah majoriti besar di Tanjung Piai

Dalam pada itu Khairuddin mempersoalkan sumbangan Anwar sendiri ke arah membangunkan semula Malaysia Baharu.

“Peranan apa yang Anwar main pada waktu ini untuk memulihkan semula ekonomi negara?

“Seandainya dia ikhlas, pelbagai peranan boleh dipikul Anwar dari luaran bagi membantu kepimpinan negara di bawah kerajaan PH.

“Anwar tidak memberi sumbangan apa-apa kecuali terus bermain politik hanya untuk mendapatkan kuasa sahaja,” jelasnya.

Sebelum ini, Anwar mengingatkan kerajaan untuk mengambil pendekatan bijaksana untuk memulihkan keyakinan rakyat yang kecewa dan memberi mesej jelas menolak PH di PRK Tanjung Piai.

Tegasnya, pemimpin PH kini perlu menggandakan usaha dalam memberi khidmat selain memahami bantahan yang ditunjukkan pengundi di PRK berkenaan.

Pada Sabtu, BN merampas semula kerusi di Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi.

Datuk Sri Dr Wee Jeck Seng berjaya memperoleh undi berjumlah 25,466, jauh meninggalkan saingan daripada calon Pakatan Harapan iaitu Karmaine Sardini yang cuma memperoleh 10,380 undi.

BACA: Bukan Tun M, tapi Syed Saddiq punca PH kalah - Syaiful Irfan Anang

BACA: Ambil pendekatan bijaksana untuk pulih keyakinan rakyat - Anwar

BACA: Selagi janji manifesto tidak dipenuhi sepenuhnya, rakyat tidak akan puas hati