SHAH ALAM: Tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri Pahang, Perlis dan Perak akan dibincangkan serentak dalam Mesyuarat Khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan diadakan pada Khamis ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, setakat Isnin, SPR telah menerima pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-14 daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. 

“Sehubungan itu, penetapan tarikh-tarikh penting pilihan raya bagi ketiga-tiga negeri ini akan dibincangkan serentak dalam Mesyuarat Khas SPR yang akan diadakan pada 20 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ikmalrudin pada 11 Oktober lalu memaklumkan Mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah akan diadakan pada Khamis ini. 
BACA SEMUA BERHUBUNG PRU15 DI SINI

Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga negeri tersebut yang berada di bawah pentadbiran BN akan mengikut ketetapan dibuat oleh kerajaan Persekutuan dalam isu pelaksanaan PRU15 pada tahun ini.

Manakala negeri yang berada di bawah pentadiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta negeri diterajui Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah masing-masing kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN sehingga tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu mengumumkan Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian